Breast cancer Pink October Malaysia

“Baru 35 tahun, dah ada kanser payudara!”

Pink Gladiator berkongsi kisah peribadinya

Breast Cancer Pink October Malaysia
Pink Gladiator ke, Wanita Besi ke… Fiza Kamarudin memang seorang wanita yang berani!

Itulah baris ayat Fiza yang masih menghantui Ms. Paris sewaktu Ms. Paris datang melawat ke rumahnya baru-baru ni. Fiza, ibu kepada dua orang anak ini bukan calang-calang orang dalam bidang kewartawanan hiburan. Orangnya happy-go-lucky dan sentiasa membuat kami ketawa. Kami semua bagaikan tak percaya apabila Fiza mengumumkan tentang kanser payudara yang dihidapinya kira-kira 2 tahun lepas. 

“Saya terperasan macam ada tahi lalat di sekitar kawasan puting tu, tapi saya buat tak kisah. Lepas tu, rasa pelik sebab tahi lalat tu mula merebak hingga menutup keseluruhan puting. Mula-mula saya ingatkan tu kuping luka, jadi saya kopek setiap kali kuping tu tumbuh semula”. 

Fiza Kamarudin, Pink Gladiator/Pejuang Kanser Payudara
Breast cancer Pink October Malaysia
Tanda-tanda kanser payudara boleh jadi dalam pelbagai bentuk. Kita kena buat pemeriksaan sendiri payudara hingga ke bawah lengan dan bahagian belakang juga.

Tak lama kemudian, Fiza mengadu berasa sakit di payudara sebelah kannya. “Terasa macam kena hiris dengan pisau berkali-kali,” katanya. Kemudian, dia mula mengambil ubat penahan sakit untuk melegakan kesakitan yang dirasanya. Sampailah suatu malam, Fiza tak mampu nak menahan sakit tersebut dan membuat pemeriksaan di hospital. Doktor memberikan ubat antibiotik dan berpesan supaya datang semula sekiranya masih sakit. 

Esoknya, Fiza datang semula ke hospital. Doktor mencadangkan supaya kawan Ms. Paris ni menjalankan biopsi untuk menguji sampel tisu yang diambil. “Lebih kurang seminggu lepas tu, doktor panggil semula. Bila dia cakap saja, ‘Saya tak suka nak bagi berita buruk’, waktu tu terus saya dah dapat agak,” katanya. “Allah saja yang tahu apa perasaan saya bila doktor sebut perkataan ‘kanser’ tu”. 

Breast cancer Pink October Malaysia
Ujian biopsi dijalankan dengan mengambil tisu dari bahagian yang sakit untuk memeriksa kehadiran sebarang penyakit dalam badan.

Dodi, suami Fiza yang Ms. Paris kenali dua kali lima gila-gilanya dengan Fiza datang menemani waktu tu. “Saya suruh Dodi tunggu di bilik doktor dulu. Time tu, saya dah tak rasa malu. Air mata ni tak boleh ditahan-tahan lagi. Pedulikan saja mata yang memandang. Saya nak menangis puas-puas dulu,” kata Fiza, menceritakan reaksinya apabila disahkan menghidapi kanser. 

Katanya, bagaikan tak percaya dengan keputusan tu, seorang kawannya mencadangkan untuk dapatkan second opinion di hospital lain pula. Lepas tu, kawan Ms. Paris yang memang terkenal dengan keras kepalanya ni (tapi keras kepala bertempatlah!) membuat imbasan CT di hospital lain. Di situ juga memang disahkan kanser payudara. “Doktor tu baik sangat. Dia explain betul-betul apa yang perlu dilakukan dan dia cadangkan memang saya perlu bedah payudara sebelah kanan sebelum kanser tu merebak lebih parah,” tambah Fiza. “Bayangkan, sebagai seorang perempuan, macam manalah nak meneruskan kehidupan tanpa aset kewanitaan kita kan?”

Breast cancer Pink October Malaysia
Ada ke mana-mana wanita yang sanggup kehilangan aset ni?

Apa-apa pun Fiza sangat bersyukur sebab suaminya terus memberi sokongan sepanjang dia mengambil masa untuk menghadam berita tersebut. Dodi betul-betul memberikan Fiza ruang sebelum mengambil sebarang keputusan. Hampir dua minggu juga Fiza bersedih ketika tu. 

“Yalah, sebagai perempuan, mestilah ada saat dramatik tu. Saya tanya suami, nak lagi ke pada saya kalau dah tinggal sebelah saja payudara ni? Bohonglah tak terfikir pasal mati. Waktu tu terbayang juga, apalah nasib anak-anak lepas tu. Memang betul-betul berkecamuk kepala otak ni lepas dapat keputusan doktor”. 

Bayangkan perasaan menerima berita salah seorang kawan disahkan menghidapi kanser payudara…

Akhirnya, Fiza bersetuju untuk mendapatkan rawatan. Bercerita tentang pengalaman menjalani kemoterapi buat pertama kali, Fiza memerhatikan suasana sekelilingnya. Pengalaman rawatan lepas tu katanya, mudah sedikit. Sebab dah tahu apa yang boleh dijangkakan. Jangan ceritalah rasa loya, pening kepala dan lesu setiap kali balik dari chemo. Selalunya masuk saja waktu Maghrib, Fiza mula terasa penat. Waktu tulah dia akan ambil masa berehat atau tidur sekejap supaya tidak terlalu mengikut rasa tak selesa menjalani rawatan. Katanya, kalau tak ada ahli keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa memberikan kekuatan, memang belum tentu kawan Ms. Paris ni mampu melawan kanser. 

Breast cancer Pink October Malaysia
Kalau tak salah Ms. Paris, gambar ni diambil oleh arwah Abah Fiza. Sebab Ms. Paris pun ambil dari Facebook arwah Pakcik Kamarudin Otai.

“Sebenarnya, orang yang paling banyak memberi kekuatan kepada saya adalah arwah Abah saya,” cerita Fiza lagi. Waktu tu, Ms. Paris pun dah terperasan kawan Ms. Paris ni dah mula berasa sebak. Terus Ms. Paris genggam tangan Fiza. “Arwah Abahlah yang banyak membantu dari mula-mula saya jalani pemeriksaan sampailah menjalani rawatan. Dia sanggup berkejar ke sana ke mari nak cari air kelapa untuk menyejukkan badan. Chemo kan panas?”

“Bayangkan, lepas chemo saya dah mula botak. Dari kepala sampailah ke private parts ni! Tak ada rambut langsung, tapi arwah Abah selalu cuba ceriakan mood saya. Abah cakap, ‘Takde rambut pun anak Abah cantik lagi’. Sebab kekuatan yang arwah Abah beri tulah, saya mampu bercerita tentang kanser sekarang ni dan tak rasa sedih pun. Cumanya rasa sebak dan sedih bila teringatkan pengorbanan arwah Abah waktu tu. Rindu sangat kat arwah Abah!”

Breast cancer Pink October Malaysia
Biar pun kehilangan mahkota perhiasan ni, seorang wanita tu masih seorang RATU!

Selepas pembedahan membuang ketumbuhan tersebut, doktor menjalankan pembedahan pemulihan payudara dengan mengambil tisu dari badan Fiza sendiri. Sebenarnya pada hari Ms. Paris datang ke rumahnya di Bukit Jalil tu, Fiza ada menunjukkan kesan pembedahannya. Ya, Allah! Ms. Paris betul-betul tak dapat membayangkan entah apa yang Fiza rasakan waktu tu. Parut yang tertinggal dari kesan pemindahan tisu tu saja kira-kira sekaki panjangnya. Fiza juga ada menunjukkan payudara kanan yang dibentuk semula kepada Ms. Paris. 

Breast cancer Pink October Malaysia
Sweet tak Fiza dan Dodi? Susah senang pun tetap bersama. Ini baru namanya #TillJannah!
(Terima kasih, Fiza Kamarudin!)

Sebenarnya, waktu Ms. Paris menulis artikel ni pun, perlu minta izin Fiza kalau Ms. Paris boleh menceritakan rupa sebenar selepas pembedahan tu. Nasib baik, Fiza ni amat memahami. Kalau korang nak tahu, waktu doktor membentuk semula payudara sebelah kanan tu, dia mencadangkan untuk membuat puting tiruan. Mungkin untuk nampak lebih natural dan supaya Fiza tak rasa kehilangan. “Dodilah yang cakap tak payah bersusah-payah. Namanya pun perhiasan saja,” kata Fiza lagi.

“Tahu tak apa yang Dodi cakap waktu tu? Dia cakap, ‘Saya bukan sayang dan kahwin dengan awak sebab payudara awak’. Ayat yang datang dari seorang suami itulah sebenarnya yang beri saya kekuatan untuk rasa hidup semula. Setiap kali saya ingat balik kata-kata Dodi tu, tak terasa pun diri ni cacat atau tak sempurna. Apatah lagi terasa diri ni buruk!”

Fiza Kamarudin, Pink Gladiator/Pejuang Kanser Payudara

Menyambung cerita tentang pengalamannya lagi, Fiza memberitahu Ms. Paris, dia ada join kumpulan pejuang kanser payudara yang lain. “Bayangkan, Paris, tak kiralah umur ke agama ke, semuanya positif. Tak ada sesiapa pun yang menyebut tentang mati. Tak terasa diri ni sakit sebab mereka ada cakap, kami ni insan istimewa yang terpilih untuk lalui pengalaman ni. Tu pun sumber kekuatan juga,” katanya. 

Breast cancer Pink October Malaysia
“Kami adalah insan istimewa!” – Berbanggalah, wahai Pink Gladiators/Breast Cancer Fighters!

Fiza juga tak berasa malu untuk berkongsi kisah peribadinya di Media Sosial. Sehinggakan ada orang yang menghantar DM untuk mendapatkan pandangan. “Ada seorang perempuan ni message dan bercerita, maknya dah disahkan menghidap kanser payudara. Dia minta nasihat. Sebenarnya saya gembira dapat menolong orang dengan cara ni. Mungkin ada juga orang yang tak tahu nak buat apa dalam situasi macam ni,” ceritanya lagi. 

“Cumanya, kalau boleh, saya nasihatkan semua wanita di luar sana untuk menjaga diri masing-masing. Kalau ada rasa something is wrong dengan badan kita, cepat-cepatlah jumpa doktor,”katanya. 

Breast cancer Pink October Malaysia
Sekiranya ada sebarang masalah kesihatan, doktor boleh memberikan maklumat yang paling tepat.

Sebenarnya betul juga apa yang Fiza cakap tu. Sebab Ms. Paris selalu juga dengar orang Melayu ni bila sakit pelik-pelik sedikit saja, terus cari bomoh. Tak payah pergi jauhlah. Salah seorang makcik Ms. Paris sebenarnya meninggal akibat kanser payudara sebab terlambat dapatkan rawatan. Apa taknya, dah tahu ada ketulan di payudara dikatanya kena santau. Bukan nak menghina bangsa sendiri, tapi memang ramai pun orang Melayu yang suka memakai-makai dan menggunakan ilmu hitam untuk kepentingan diri sendiri. Sebenarnya, Ms. Paris pernah terdengar Mama Ms. Paris bercerita, arwah makcik tu waktu sakit terlalu takut ditinggalkan suami kalau dah cacat tubuh badannya. Hmmm… pasal pakcik tu pun ada juga ceritanya. Tapi tak apalah, Ms. Paris ceritakan lain kali ya?

Breast cancer Pink October Malaysia
Dengan teknologi moden, kaum wanita tak perlu rasa risau kehilangan payudara. Selain menarik tisu dan lemak dari tubuh sendiri, ada wanita boleh mendapatkan implan tiruan seperti silikon.

“Bukan nak menafikan, mungkin ada perubatan tradisional yang serasi dengan sesetengah orang. Tapi, cuba kita fikir logik, kalaulah perubatan moden tu tak berkesan, takkanlah kerajaan dan hospital sanggup berhabis membeli mesin canggih-canggih untuk merawat kanser? Entah berapa ribu orang yang dah sembuh semula lepas dapat rawatan kanser. Lepas tu ada juga doktor yang habiskan masa bertahun-tahun nak buat research dalam bidang kanser”. 

Fiza Kamarudin, Pink Gladiator/Pejuang Kanser Payudara
Breast cancer Pink October Malaysia
Buat semua Pink Gladiators di luar sana, ANDA SANGAT ISTIMEWA!

Ms. Paris pun sokong apa yang si Fiza cakapkan tu. Ms. Paris ada bertanya, adakah Fiza dah betul-betul sembuh sepenuhnya dari kanser payudara? Jawabnya, doktor berikan tempoh 5 tahun untuk sembuh sepenuhnya. Malah, Fiza masih lagi buat follow-up. Sepanjang lebih 10 tahun mengenali Fiza ni, Ms. Paris berani cakap, dia antara orang yang paling kuat yang Ms. Paris kenal. Bukan nak cakap besar atau melawan kuasa Tuhan, tapi rasanya setakat kanser tu, Fiza boleh flip hair saja dan melawan habis-habisan! Kalau dalam Bahasa Inggeris, memang kasar sedikit bunyinya. Baca sendirilah dalam versi Bahasa Inggeris DI SINI ya?

Apa-apa pun, Ms. Paris nak ucapkan terima kasih kepada Fiza sekeluarga – suaminya, Dodi dan anak-anaknya, Riyadh dan Raisya yang sudi menjemput Ms. Paris datang ke rumah untuk menulis artikel ni. Kalau korang ada masa, jangan lupa menonton video di bawah ni ya? Dan kalau ada ahli keluarga atau kawan-kawan yang diuji dengan apa-apa penyakit, kita perlu mainkan peranan untuk beri sokongan kepada mereka. Mana tahu, kasih sayang dan sokongan kita boleh meringankan beban yang ditanggung!

XOXO,

Paris Ashiqin

Breast cancer Pink October Malaysia
Cepat sembuh ya, Sayang? Nanti kita bergambar lagi sama-sama!

Loading

One Reply to ““Baru 35 tahun, dah ada kanser payudara!””

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *