Kalau Ms. Paris bertanya, sejujurnya, berapa ramai wanita Melayu beragama Islam yang sanggup menuturkan, “Saya izinkan suami berkahwin lagi” dalam suasana normal?
Sekarang, cuba kita tukar suasana tersebut dalam situasi seorang pesakit kanser payudara. Berapa ramai wanita Melayu beragama Islam yang sanggup menuturkan, “Saya izinkan suami berkahwin lagi selepas pembedahan payudara”?

Itu bukan ayat dalam drama tetapi petikan sebenar dalam kehidupan seorang kawan Ms. Paris yang berpangkat mentor, Shuhada sewaktu dia mula-mula disahkan menghidap kanser payudara. Kalau korang dah baca interview dengan kawan lama Ms. Paris zaman jadi wartawan dulu, si Fiza BACA, yang disahkan dengan kanser payudara tahap 3, Shuhada sebenarnya agak bertuah kerana berjaya mengesannya pada peringkat awal.
Sejarah kanser
“Sebenarnya, keluarga di sebelah ayah memang ada sejarah sakit kanser. Sebab itulah saya tahu, kalau saya tak periksa, saya mungkin boleh menghidap kanser juga. Saya mula disahkan menghidap kanser pada usia 50-an. Kalau orang lain bercerita, kanser yang mereka alami tu berbentuk benjolan tapi dalam kes saya, sel kanser tu nampak macam kesan tompokan kecil pada payudara sebelah kanan. Menurut doktor, waktu tu masih di peringkat pra-barah. Cumanya selepas pembedahan pertama, sel kanser tersebut dah merebak ke payudara sebelah kiri. Waktu tu, doktor mengesahkan, dah masuk lewat Tahap 1,” katanya.

“Jadi, Puan terus pergi dapatkan rawatan ke?” Ms. Paris bertanya.
“Belum lagi. Waktu mula-mula terima berita tu, memang doktor ada menyuruh saya terus menjalani pembedahan. Faham-faham sajalah hospital kan?” katanya mengimbau kembali. “Saya menolak! Saya beritahu doktor, ‘Ini badan SAYA!’ Terkejut juga doktor tu dengan reaksi saya, tapi saya tak peduli. Waktu tu saya terus berhajat untuk dapatkan pandangan kedua. Malah, suami dan anak-anak pun menyokong dan menasihatkan saya untuk membuat keputusan yang terbaik”.
Shuhada bercerita, dia pergi ke pusat perubatan lain untuk mendapatkan pandangan kedua. Sewaktu disahkan lagi sekali akan kanser payudara yang dihidapinya, dia meluangkan masa untuk berjumpa dengan kawan-kawan lama yang pernah melalui pengalaman yang sama. Ada yang masih berjuang melawan kanser payudara. Ada pula yang sudah menjalani kemoterapi dan pembedahan payudara. Bagi Shuhada, itu belum mencukupi. Dia terus berjumpa dengan wakil daripada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) untuk mendapatkan maklumat lanjut. “Kira-kira sebulan juga saya cuba mengumpulkan maklumat. Lepas betul-betul berpuas hati dengan semua input yang saya dapat, barulah saya berjumpa doktor semula untuk menjadualkan rawatan,” katanya.

“You tahu apa yang saya buat dalam masa sebulan tu, Paris? Saya akan masuk ke bilik air beberapa kali dalam sehari. Saya selak baju saya dan tenung betul-betul di cermin tu. Dah terbayang waktu tu, macam manalah agaknya rupa saya kalau dah tinggal sebelah saja? Mesti rasa pelik sebab kehilangan sesuatu yang penting pada badan kita”.
Shuhada, Pink Gladiator/Pejuang Kanser
“Suami pun ada cakap, ‘barang’ ni dah berkhidmat untuk empat orang anak dan seorang suami, apa lagi yang tak cukup? Dia ada juga mengingatkan saya, takkanlah seks saja yang jadi perkara utama lepas berkahwin selama ni. Sama ada nasib baik atau tak baik, kita tetap kena terima takdir kita,” katanya.
“Biasalah, orang lelaki! Boleh percaya ke semua yang mereka cakap?” kata Shuhada sambil tertawa. “Kita pula orang perempuan, mestilah melawan. Saya cakap, dia takkan faham apa perasaan saya bila kehilangan sesuatu yang semulajadi bagi saya, aset kewanitaan saya. Waktu tulah saya cakap, saya izinkan kalau suami nak berkahwin lagi dan ini jawapan suami…”

“Dangkal betul pemikiran awak kalau berfikir macam tu!” cerita Shuhada lagi, mengulang ayat yang diluahkan suaminya kira-kira 3 tahun lepas. “Alhamdulillah! Semuanya baik-baik belaka!”
Apabila ditanya lagi, Ms. Paris dah terbayang sebenarnya wajah Shuhada yang selalu tersenyum setiap kali rancak bercerita. Katanya, pembedahan payudara tu hanyalah perkara biasa baginya. Rupa-rupanya sebelum ni pun dia dah menjalani beberapa pembedahan lain. Sebab tu, dia tak takut apabila doktor menyarankan pembedahan payudara.
“Bedah tak sakit, waktu nak baik pun tak sakit. Cuma kadang-kadang bila saya ternampak parut di badan tu, saya buat lawak dan cakap dengan keluarga, saya lagi hebat daripada Rambo sebab parut saya lagi besar! Kadang-kadang mengusik juga suami, kalau dah buang dua-dua belah, dah boleh pinjam kain pelekat suami. Kalau nak drive pun, rasanya nak letak pelekat OKU!”
Shuhada, Pink Gladiator/Pejuang Kanser
“Dapatlah free parking ya, Puan?” Ms. Paris pun melawak sama.
“Haaa itulah dia!” Shuhada tertawa lagi.

Kisah Di Sebalik Kanser
Sebenarnya waktu Ms. Paris interview Shuhada menerusi telefon tu, tertanya-tanya dalam hati. Kenapalah agaknya dia tak mahu Ms. Paris kongsikan identitinya. Bukan berniat nak malukan sesiapa, tapi Shuhada yang Ms. Paris kenal ni sebenarnya kawan berborak yang seronok. Kalau datang office dia pukul 2 petang, rasanya boleh tersangkut di situ sampai Maghrib! Ni bukan cerita bohong, memang betul-betul kejadian, kata Pendekar Mustar. Lagipun Shuhada ni seorang yang supportive gila! Apa yang Ms. Paris merepek di Media Sosial pun, dia tak pernah judge. Lagi terhibur adalah, katanya. So, Ms. Paris pun bertanyalah soalan cepumas tu, “Puan, boleh saya tanya, kenapa ya Puan nak stay anonymous?”
“Saya ada nampak interview yang you buat dengan kawan you, Fiza tu. Bagus interview tu dan saya tengok budak-budak sebaya you memang very vocal and open bila bercerita tentang kanser,” katanya. “Sayangnya, kalau you nak tahu, my generation ni lain sikit”.

Waktu tulah, Shuhada bercerita pengalaman mula-mula berkongsi kisah kanser payudara dengan kawan-kawan sekelilingnya. Tiba-tiba saja pandangan mereka terhadap Shuhada berubah. Layanan pun dah tak macam dulu. Kawan-kawan muka melayannya bagaikan dia telah cacat dan tak berguna lagi. “Sebab tu saya memilih untuk bercerita dengan orang yang rapat saja. Kadang-kadang mulut orang ni buat kita kecil hati dan rasa negatif. Daripada bercakap yang tak elok, lebih baik mereka diam saja,” katanya.
“Pernah juga sekali tu, seorang kawan datang melawat dengan suaminya. Percaya tak, si suami tu dengan tak malunya bertanya, ‘Macam mana suami kau lepas dah tinggal sebelah (payudara) saja?’ Ada ke patut dia bertanya depan si isteri tu! Si isteri pun malu sendiri dengan perangai suaminya!”
Shuhada, Pink Gladiator/Pejuang Kanser

“Sama saja bila saya balik kampung. Jiran-jiran mula menyibuk bila mereka tengok saya sibuk berkebun dan bersihkan kawasan rumah. Perlu ke? Bukannya saya cacat pun. Saya masih boleh buat kerja rumah,” tambah Shuhada lagi.
Sebab reaksi sebegitulah rupa-rupanya yang menjadi punca suami Shuhada tak begitu menggalakkannya untuk menjadi sukarelawan berkongsi pengalaman sebagai pejuang kanser payudara. “Sebenarnya saya tak kisah pun untuk bercerita dengan orang yang dikenali tapi bila diingat semula pandangan yang saya terima daripada orang yang sezaman dengan saya ni, tak sanggup rasanya nak lalui tu semua. Sebenarnya kawan satu pejabat pun tak semuanya tahu saya ni pernah menghidap kanser payudara,” katanya. “Seronok tengok orang muda macam you yang buat benda-benda macam ni. Sebenarnya kan, hadiah hari jadi yang paling best untuk orang perempuan adalah ujian saringan kanser, tak kisahlah kanser payudara atau kanser rahim!”

Allah takkan menguji hamba-Nya di luar batasnya
Ingat tak waktu mula-mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diringankan sedikit dan kita pun dah dibenarnya keluar ke pusat membeli-belah? So, Ms. Paris ambil kesempatan untuk mengopi dengan Shuhada. Waktu tulah, dia memberitahu, dia baru saja dapat diagnosis kanser lain pula. Katanya, berbanding dengan kanser payudara, kali ni agak berat sedikit kesannya terutama dari segi fizikal.
“Macam terjaga dari mimpi, Paris,” katanya. “Saya rasa macam ada sebab Allah menguji saya sekali lagi. Memang saya betul-betul rasa pengalaman kali ni banyak mengubah diri saya”.
Saja Ms. Paris bertanya, “Kawan saya, Fiza dan kawan-kawan BC ada berkata, orang yang sakit kanser ni kiranya orang special yang terpilih untuk lalui pengalaman ni. Puan rasa macam mana?”

“You tahu tak, sebelum saya kena kanser kedua ni, saya ada perhatikan anak lelaki saya rajin bersolat. Dia rajin bangun malam-malam dan solat tahajjud. Terasa dalam hati ni sebagai seorang ibu dan saya pun mula ikut solat begitu juga. Bukanlah sebelum ni tak solat. Solat memang solat. Tapi kalau dulu saya solat untuk jalankan tanggungjawab sebagai orang Islam, sekarang saya solat sebab saya dah nampak indahnya nikmat bersolat tu,” kata Shuhada lagi.
“Siapa tahu, kalau ditakdirkan sampai masa untuk saya dipanggil semula, saya dah tak takut lagi. Saya dah bersedia”.
XOXO,
Paris Ashiqin
