Akuilah, kita rakyat Malaysia ni memang PALING TERUK kalau bab menjaga kesihatan, tambah-tambah yang berkaitan dengan gula. Selain daripada ais kosong tu, rasanya semua benda kita bubuh gula, betul?
Haaa, bukan nak kata, Ms. Paris sendiri adalah antara manusia yang kena menjaga pengambilan gula. Maklumlah, keluarga belah Abah Ms. Paris memang rata-ratanya ada penyakit. Kalau balik kampung sebelah sana tu, memang akan dicarut sehingga 3 keturunan kalau tak cukup manis dalam minuman. Tambah lagi carutan 7 keturunan kalau masakan tak cukup rasa. Siap ada makcik yang akan sindir, “Masak tak sedap, tak lakulah esok”. Ewah-ewah!

Tapi, bila diingat semula, memang Ms. Paris akui gaya pemakanan yang Ms. Paris amalkan selama ni tak berapa sihat. Rasanya, kalau dikumpul gula yang Ms. Paris dah telan tu, eh, cukuplah nak buat air minum untuk satu benua Afrika tu. Ms. Paris mula menjaga pemakanan pun waktu bekerja sebagai wartawan penyiaran. Maklumlah, sekali-sekala kena keluar di kaca TV tu. Waktu jadi PR di telco tu lagi jaga. Boleh kata tiap-tiap hari pergi gym dan terus cut carbs. Makan sup ayam, tapi ayamnya tak ada. Boleh macam tu?
Tapi tu sebelum COVID-19 melanda! Ni dengan Perintah Kawalan Pergerakan entah edisi mana pula ni, berapa ramai yang betul-betul boleh menjaga kesihatan dan pemakanan kan? Kalau dah konsepnya duduk di rumah tak payah pakai mask, maksudnya mulut tu bebas nak mengunyah apa saja yang ada dalam fridge tu, haha!
Walaupun Ms. Paris ni belum masuk kategori kencing manis atau diabetes (mohon simpang malaikat!), tapi Ms. Paris nak kongsikan artikel daripada Prof. Dr. Amir Khir, Pakar Perunding Endokrinologi di Hospital Gleneagles Pulau Pinang yang mungkin boleh dimanfaatkan oleh mereka yang menghidap diabetes. Rupa-rupanya Prof. Dr. Amir Khir ni juga seorang profesor dalam bidang perubatan di Kolej Perubatan Pulau Pinang.

Ini antara fakta tentang diabetes yang boleh membuat anda tersedak!
- Menjelang 2025, kira-kira 7 juta orang dewasa di Malaysia sama ada yang telah didiagnosis atau belum akan menghidap diabetes.
Mak aiii! Lagi 4 tahun saja tu. Rasanya, Ms. Paris ni antara 7 juta tu agaknya kalau tak jaga pemakanan dan kesihatan dari sekarang.
- Diabetes ni adalah masalah kesihatan berkaitan gaya hidup. Kira-kira 3.9 juta rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas telah didiagnosis dengan diabetes. Maksudnya, yang lebihan 3.1 juta tu menunggu masa saja.
- Bilangan kes diabetes dalam kalangan mereka yang berusia 18 tahun ke atas telah meningkat dari 13.4% (2015) ke 18.3% dalam tahun 2019. Ini adalah data yang diterbitkan oleh Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang terbaharu.
So, boleh anggar sendiri dalam tahun 2021 ni, lebih kurang 21 hingga 22% agaknya! Ni bukan data rasmi ya? Ni Ms. Paris yang buat anggaran sendiri.

Apakah soalan-soalan yang kerap diajukan berkaitan diabetes?
Apakah simptom diabetes?
Terdapat 2 jenis diabetes mellitus (DM).
Mengenai Diabetes Mellitus Jenis 1
- Jarang dilaporkan di Malaysia (kurang daripada 5%)
- Simptomnya lebih teruk seperti pengurangan berat badan, rasa haus yang keterlaluan dan kekerapan buang air kecil
Mengenai Diabetes Mellitus Jenis 2
- Sukar untuk dikesan pada peringkat awal kerana tidak menunjukkan simptom
- Semakin kronik penyakit tersebut, penghidap diabetes akan mula berasa haus yang keterlaluan dan kerap buang air kecil
- Rata-rata kes menunjukkan, penghidap diabetes jenis 2 mengalami komplikasi seperti sakit jantung atau strok, kerosakan pada saraf dan buah pinggang, komplikasi pada mata, ulcer di bahagian kaki, jangkitan dan lain-lain
- Bagi wanita pula, silap-silap boleh terkena jangkitan kulat yang dipanggil pruritus vulvae. Maksudnya boleh timbul rasa gatal-gatal di celah Bedah ya, ladies?

Bagaimana kita buat diagnosis diabetes?
Mudah saja – kena kira kandungan gula dalam darah!
Selalunya doktor akan minta kita berpuasa semalaman atau kira-kira 8 jam sebelum mengambil sampel darah. Kalau dah lebih daripada 7.0 mmol/L tu, memang dah terlebih manis awak ni! Kalau antara 5.7 ke 6.9 mmol/L tu dah diambang-ambang tu. Kena jaga juga tu.
Kalau sampel darah diambil tanpa berpuasa, kita akan tengok sekiranya kandungan gula tu 11.1 mmol/L.

Apakah kebarangkalian kita menghidap diabetes?
- Berat badan berlebihan – eh, doktor ni, macam tahu-tahu saja Ms. Paris memang dah gemuk bagai dipam-pam! Sekarang ni, semua kena selak baju dan tengok ukur lilit perut. Kalau agak-agak macam dah gebu macam tepung diuli tu, sila turunkan berat badan.
- Gaya hidup kurang aktif – WFH? Tak bersenam? Tahniah, anda antara calon diabetes nampaknya!
- Sejarah keluarga – Ini memang tak boleh dinafikan. Kalau salah seorang ibu bapa ada kencing manis, kebarangkalian tu adalah antara 20 hingga 30%. Kalau kedua-duanya terlebih manis, tandanya anda pun ada 50-50 chance untuk termanis bersama. Macam Ms. Paris ni, ahli keluarga lain pun manis-manis semuanya, insya-Allah, kalau tak jaga dari sekarang, memang 100% jawabnya!
- Hamil – Kan ramai kawan-kawan hamil yang tiba-tiba menghidap diabetes? Apa lagi? Lepas menjangkau Minggu ke-24 tu, kebarangkalian untuk menghidap diabetes jenis 2 sangat tinggi, Cik Kiah oi!
- Faktor usia – Siapa cakap ‘age is just a number’ tu memang nak kena tumbuk! Usia ni sebenarnya salah satu penanda aras yang bagus bila kita bercerita tentang kesihatan. Sebab tu, semakin meningkat usia kita, semakin banyak masalah kesihatan yang timbul.

Bagaimana diabetes boleh merosakkan saraf?
Kandungan gula dalam darah yang terlalu tinggi boleh menyebabkan peningkatan bahan seperti sorbitol dalam urat saraf yang boleh merosakkan fungsi metabolik sistem saraf kita. Fungsi metabolik tu maksudnya proses yang berlaku dalam badan. Kalau dapat dikesan dan dikawal dari awal, kerosakan saraf ni boleh dielakkan.
Bagi mereka gagal menjaga gula dalam darah bagi tempoh jangka panjang, saraf mungkin rosak kerana terdapat salur darah yang tidak normal. Saraf ni rosak kerana kekurangan darah yang dipam ke organ atau bahagian badan. Sayangnya, kerosakan yang ini tak dapat diubati.
Musim COVID-19! Kalau kita menghidap diabetes?
Alahai, kalau kita obese dan menghidap diabetes, risiko kita menghidap COVID-19 menjadi lebih tinggi.
Lebih teruk lagi, kalau positif COVID-19, komplikasinya juga lebih teruk.

Apa yang boleh kita lakukan?
Mula-mula sekali, jumpa doktor untuk buat pemeriksaan termasuk ujian gula. Ujian gula ni kena buat setiap tahun.
Doktor akan nasihatkan supaya kita ubah gaya hidup kita. So, kena mula kurangkan karbohidrat dan gula dalam pemakanan. Lama-lama, berat badan akan berkurangan.
Kalau kita risau tentang COVID-19, kena berbincang dengan doktor tentang vaksin. Sepatutnya mereka yang menghidap diabetes termasuk dalam Fasa Kedua Program Imunisasi Kebangsaan.

Apakah rawatan untuk diabetes?
Eh, mestilah ada rawatannya!
Mula-mula, doktor akan nasihatkan kita untuk ubah gaya hidup kita. Memang kena bersungguh-sungguh turunkan berat badan dan makan secara sihat. Dah kurangkan makan, kena exercise lagi biar lemak tu terbakar secara konsisten. Cumanya visceral fat (lemak tepu yang meliputi organ) ni susah sikit untuk diturunkan. Lama-kelamaan, kadar rintangan tubuh kita terhadap insulin akan bertambah baik.
Dalam kes yang lebih kronik, doktor akan bagi anda ubat-ubatan. Ubat-ubat untuk mengawal diabetes ni berlainan mengikut keperluan individu yang berbeza. Kena bincang betul-betul dengan doktor pakar. Contohnya, kalau anda ada sejarah sakit jantung dan darah tinggi, doktor akan bagi kombinasi ubat yang bersesuaian mengikut keperluan.
Haaaa, siapa cakap kencing manis tu sweet?
XOXO,
Paris Ashiqin
